Baginda bertitah, pihak swasta antara lain berperanan sebagai penasihat kurikulum yang memastikan program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Situasi menang-menang yang diamalkan dalam konteks jaringan strategik telah menatijahkan pencapaian yang memberangsangkan bagi Unimap.

“Ini semua telah dibuktikan dengan peratusan tinggi kebolehpasaran siswazah,” titah baginda yang juga Canselor Unimap.
 
Baginda mengutarakan perkara itu ketika mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Unimap ke ibu pejabat syarikat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.A.R.L di Marine Plaza di Baku, di sini semalam. 

Ketua bagi Pengoperasian Negara Azerbaijan Petronas, Hanafi Talib menyambut keberangkatan baginda sebelum memberi taklimat berkaitan kepada rombongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap.

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abul Rahman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Dalam program Jelajah Ilmu Unimap kali ini, rombongan MPP universiti tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu melawat pengoperasian syarikat Petronas manakala selebihnya melawat kilang syarikat konglomerat Azersun iaitu Azerbaijan Oil and Fat. - UTUSAN ONLINE