Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, MoU berhubung kerjasama bersama syarikat yang terlibat dengan industri aeroangkasa itu membolehkan UniKL meneroka dengan lebih luas bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

“Angkasa Khas akan memberi platform kepada kami untuk menyediakan ruang mempertingkat kemahiran pelajar dalam bidang kejuruteraan pesawat melalui penyediaan pesawat.

“Syarikat itu pula akan memperoleh tenaga kerja yang berkemahiran untuk menyelenggara pesawat mereka dan ini secara tidak langsung akan menjadi sebuah perkongsian strategik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perjanjian antara IPTS dan syarikat tersebut merupakan salah satu daripada lima MoU yang berjaya dimeterai dalam satu majlis di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA‘15) di sini semalam.

Sesi menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien manakala Angkasa Khas diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Ramly Abu Bakar.

Mazliham menambah, buat masa ini tidak dapat dianggarkan lagi nilai pulangan di antara kedua-dua belah pihak kerana masih dalam proses perbincangan.

Beliau menjangkakan perkara itu akan mengambil masa dalam setahun atau dua tahun bagi memberi ruang kedua-dua pihak membuat persiapan.

“Perkongsian teknikal ini akan memberi kelebihan sebanyak 2,300 pelajar kampus Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-MIAT) untuk mempertingkat kemahiran mereka,” katanya.