Jelas Perdana Menteri, kerana ia akan menentukan hala tuju demokrasi negara, penelitian kepada pelaksanaan ini adalah wajar bagi mengambil kira aspek kebajikan bakal-bakal pengundi diberi keutamaan dan bukannya memberi ruang kepada apa-apa agenda politik.

“Agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung sewajarnya diberi peluang dan ruang membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan.

“Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran seramai 7.8 juta pengundi-pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang itu dengan mendapatkan sokongan 211 ahli Parlimen sekali gus membolehkan had umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun sebelum ini.

Ia juga membolehkan pendaftaran automatik pemilih berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara dilaksanakan selain menurunkan juga had umur calon dalam pilihan raya kepada 18 tahun.

Sementara itu, tambah Dr. Mahathir lagi, pelaksanaan kesemua pindaan tersebut bukanlah tugas mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul.

“Dalam melaksanakan perkara ini, kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada Daftar Pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan agar rang undang-undang yang dibentangkan ini difahami dan dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Ini memastikan hasrat kepada pindaan ini dapat diterjemahkan sepenuhnya demi menyuburkan demokrasi negara seterusnya meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara maju lain yang telah lama berbuat demikian,” katanya.-UTUSAN ONLINE