Ketika negara merdeka pada 1957, hampir semua negara menjadikan 21 tahun sebagai had usia minimum layak mengundi. Kemudiannya, satu demi satu negara menurunkan kepada 18 tahun.

Kenapa 18 tahun? Ada 1,001 macam hujah. Antaranya kalau 18 tahun sudah boleh dibenarkan berperang kenapa tidak dibenarkan mengundi.

Yang menentang umur mengundi diturunkan berhujah yang remaja majoritinya tidak membayar cukai, maka hak mengundi tidak penting buat mereka. Selain dibimbangi golongan tersebut mudah dipengaruhi dengan perjuangan politik yang tidak rasional.

Pada masa sama, ada perbincangan di segelintir negara untuk mewujudkan umur maksimum layak mengundi. Kata pencadangnya, mereka yang terlalu lanjut usia sudah tidak mempunyai banyak kepentingan untuk menentukan siapa berhak menjadi kerajaan.

Hakikatnya kini, Austria dan Scotland sebagai contoh menetapkan 16 tahun usia minimum layak mengundi. Kempen juga sedang bergerak untuk menetapkan 16 tahun usia layak mengundi bagi keseluruhan UK dan Eropah. Begitu juga hal sama di benua lain seperti Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Apa pun hujah sama ada setuju atau tidak, sama ada 21, 18 atau 16 tahun, umur hanyalah satu angka. Akhirnya yang penting adalah kematangan politik. Kalau umur separuh abad pun, tapi mudah diperdaya dengan manifesto ‘sweet-sweet’, tak guna juga.

Di sinilah kerajaan boleh memainkan peranan. Bukan sekadar menurunkan usia layak mengundi tetapi pada masa sama menyediakan platform dan ekosistem bagi melahirkan rakyat dengan kematangan politik yang baik.

Bukan untuk mereka mendalami ilmu politik sehingga bergelar profesor ulung, tetapi setidak-tidaknya mempunyai asas kefahaman yang kukuh antaranya terhadap prinsip Perlembagaan yang menjadi teras negara.

Ini agar tiada siapa pun boleh mengubah takdir dan wajah Malaysia sebagai mana dipersetujui bapa-bapa pengasas negara dahulu. Namun kalau masih senang diperdaya dengan janji manis orang politik, umur 50 tahun pun tak ada beza dengan pelajar sekolah!.-UTUSAN ONLINE