Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, sehubungan itu pengumuman berkenaan walaupun melibatkan sejumlah peruntukan yang besar tetapi disambut dingin oleh rakyat negeri ini.

Begitu juga kata beliau, apabila pengumuman berkenaan langsung tidak menyentuh langkah kerajaan yang tuntas untuk menangani isu kenaikan harga barang dan komoditi seperti getah.

"Saya melihat rakyat di akar umbi tidak teruja apabila mendengar pembinaan seperti lapangan terbang dan lebuh raya di saat mereka masih dihimpit isu kenaikan harga barang manakala sebahagian penduduk lain di Merbok pula, ekoran isu air sejak sekian lama.

"Mengapakah tidak diumumkan pembangunan sumber air (loji) sebagai contohnya, bagi menyelesaikan masalah bekalan itu dan ini sangat dinanti-nantikan oleh penduduk di situ.

"Saya tidak mempertikaikan penjanaan ekonomi hasil daripada projek-projek ini tetapi seharusnya biarlah ia disekalikan dengan penyelesaian isu-isu majoriti rakyat yang sebenar di akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada ibu saudara Allahyarham Mohd. Haziq Mohd. Tarmizi, Zarina Shuib, 53, iaitu rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan pengganas di Christcurch, New Zealand, baru-baru ini.

Johari mengulas tujuh projek bernilai RM3.2 bilion yang bakal dilaksanakan di negeri ini bagi menarik pelaburan sekali gus menjana pendapatan kerajaan negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu golongan miskin.

Johari seterusnya turut mempertikaikan pengumuman projek mega itu apabila ada desas-desus mengatakan bahawa kajian kemungkinan pelaksanaannya masih belum disiapkan lagi selain ada antaranya bukan daripada peruntukan kerajaan sebaliknya merupakan inisiatif pembiayaan swasta (FDI). - UTUSAN ONLINE