Pengerusi penganjur, Profesor Dr. Rossita Shapawi berkata, program tersebut disertai sebanyak 1,000 kakitangan dan pelajar UMS dalam menjalankan tanggung jawab terhadap alam sekitar.

“Selain memastikan kebersihan kawasan pantai terpelihara, program ini juga bertujuan memupuk semangat sayangkan pantai yang kini menjadi salah satu perkara yang ingin diterapkan pengurusan UMS .

“Dalam masa sama, penglibatan warga UMS juga amat wajar bagi menerbitkan rasa kepunyaan yang tinggi terhadap organisasi khususnya UMS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu program tersebut turut dihadiri Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin.

Dalam pada itu, Rossita yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) berkata, penganjuran program itu secara tidak langsung dapat mendidik pengunjung yang datang melawat ke pantai itu untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai.

“Seperti yang kita sedia maklum, pantai ODEC merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, maka warga UMS sendiri perlu komited memastikan persekitaran pantai sentiasa dalam keadaan terpelihara dan bersih,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE