Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr Noor Azizi Ismail berkata, cabaran utama sekarang adalah menukar corak pemikiran warga universiti itu supaya tidak lagi bekerja dengan gaya yang sama seperti sebelum ini.

Beliau berkata, penekanan akan diberikan kepada kerja berpasukan antara fakulti, institusi dan pengurusan tertinggi supaya sentiasa berkomunikasi dan mempunyai visi yang sama selain meningkatkan kerjasama dengan pemain industri.

“Selepas UMK ditubuhkan 12 tahun lalu banyak perkara kita sudah lakukan tetapi untuk menjadi sebuah universiti yang unggul kita perlukan rancangan strategik lain.

“Kita sebenarnya masih belum boleh mengaku sebagai universiti keusahawanan kerana kadar graduan kita yang menjadi usahawan selepas tamat pengajian hanya 2.82 peratus sahaja.

“Kita perlu meningkatkan kadar ini kepada lima peratus tahun hadapan dan 10 peratus tahun berikutnya sebelum menjadi 30 peratus pada 2023 barulah layak digelar universiti keusahawanan,” katanya selepas pelancaran Gerak Gempur Universiti Keusahawanan Nombor 1 di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacob. Yang turut hadir, Pengarah Pusat Strategik UMK, Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, antara perkara utama yang akan dilakukan adalah memastikan pemilihan pensyarah perlu dari kalangan yang mempunyai kemahiran dan berminat dalam bidang keusahawanan.

“Tenaga pengajar perlu berminda dan mempunyai pengalaman keusahawanan kerana mereka yang bertanggungjawab untuk melatih pelajar menjadi usahawan.

“Kita perlu melatih semula pensyarah dan menambah kemahiran mereka supaya mempunyai ilmu yang tepat untuk mengajar pelajar kita,”katanya.

Dalam pada itu, Hussamuddin dalam ucapannya berkata, tiada tempat bagi orang yang lembab dan terhegeh-hegeh dalam UMK jika berhasrat menjadi universiti keusahawanan nombor satu.

“Suasana dan tingkah laku keusahawanan perlu ada di segenap pelosok universiti, kita kena ada jiwa, perlu menjadi golongan pencipta, punya komitmen dan menjadi juara.

“Pemikiran inovatif dan sifat keusahawanan di segenap lapisan perlu ada bermula dari pihak pengurusan sehingga bawahan, kita kena ada jiwa, kalau kita tidak bersatu majlis ini akan jadi majls potong riben saja,”katanya. - UTUSAN ONLINE