Naib Canselor UMK, Prof. Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, langkah itu memandangkan pelantikan secara langsung Ahli Senat dari kalangan pelajar memerlukan semakan semula perlembagaan universiti yang sudah tentu mengambil masa.

Justeru, beliau berkata, pelantikan sebagai pemerhati adalah lebih mudah bagi membuka jalan kepada usaha melantik pelajar sebagai Ahli Senat pada masa hadapan.

“Pada dasarnya kita tidak ada masalah untuk melantik pelajar sebagai Ahli Senat dan kita memang ada perancangan, cuma setiap universiti ada perlembagaan masing-masing.

“Pegawai undang-undang kita sedang meneliti perlembagaan UMK untuk kita tengok sudut perundangan, kalau pelajar hadir sebagai pemerhati macam mana, sebaik sahaja perkara ini jelas kita boleh lantik terus mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Kelab Media Darulnaim (Kemudi) bersama UMK di Rumah Wartawan di sini petang semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof. Dr Zaliman Sauli; Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dan Timbalannya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Noor Azizi diminta mengulas tindakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang melakar sejarah apabila menjadi universiti awam pertama yang melantik dua pemimpin pelajarnya sebagai Ahli Senat manakala dua lagi sebagai pemerhati.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu dan bersetuju bahawa dua pemerhati yang akan dilantik adalah Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua MPP.

“Keutamaan kita adalah MPP tetapi kalau pihak mereka sendiri mahu lantik orang luar kita serahkan sahaja keputusan kepada mereka, namun tetap perlu ada seorang wakil dari MPP dalam Senat,” katanya.

Jelasnya lagi, keberadaan pelajar dalam Senat akan memberi peluang mereka melihat perjalanan Senat serta memahami apa yang dibincangkan.

“Sekarang kita yang tentukan apa yang pelajar perlu dari sudut pandang kita sebagai pensyarah sebab dalam Senat kita berbincang soal akademik.

“Apabila ada wakil pelajar yang dapat suarakan pandangan dari sudut pelajar maka ini sudah tentu amat baik, selama ini pun kita tidak ada apa-apa untuk disembunyikan sebab perkara yang kita bincang adalah untuk memberi yang terbaik kepada pelajar,”katanya. - UTUSAN ONLINE