Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, umat Islam digalakkan menghidupkan sunnah dengan menunaikan solat sunat Khusuf Alqamar (gerhana bulan) dan membuat cerapan melihat fenomena itu.

“Tujuan melakukan kedua-dua ibadat sunat ini adalah untuk melihat kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk di bumi dan dilangit termasuk bulan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, umat Islam juga diminta memohon keampunan daripada Allah SWT serta memohon rahmat keamanan serta dijauhkan daripada sebarang musibah.

Katanya, Jabatan Mufti Melaka dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Melaka di Londang akan mengadakan Qiamullail (melakukan ibadah malam) dan solat sunat gerhana serta membuat cerapan gerhana bermula pukul 3 pagi esok yang akan disertai 500 pelajar. - BERNAMA