Sesi pendaftaran yang berlangsung di kampus universiti berkenaan di sini hari ini menyaksikan 10 daripada pelajar OKU itu ditempatkan di Kolej Kediaman Ketujuh, Za’ba manakala dua lagi di Kolej Kediaman Ke-12, Raja Dr. Nazrin Shah.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd. Adikan berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tertua di negara ini dan telah banyak melakar kejayaan di peringkat antarabangsa, pihaknya juga tidak mahu terkecuali daripada diiktiraf sebagai universiti mesra OKU.

“Tahun demi tahun berlaku peningkatan bilangan tawaran pengajian kepada pelajar OKU. UM komited untuk menawarkan pendidikan yang berkualiti kepada semua golongan.

“Setiap OKU yang mendaftar akan mendapat elaun khas daripada kementerian dan pihak universiti sendiri. Mereka tidak perlu berasa khuatir untuk mendaftar kerana pelbagai fasaliti telah kita sediakan untuk membantu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan taklimat pelajar baharu bersama ibu bapa sebentar tadi.

Secara keseluruhan, UM telah menawarkan sebanyak 4,063 tempat untuk pengambilan kali ini iaitu 2,511 adalah pelajar perempuan manakala 1,552 pelajar lelaki.

Daripada jumlah itu, bilangan pelajar antarabangsa pula adalah seramai 242 orang yang datang dari 38 buah negara seperti China, Indonesia Bangladesh, Singapura dan Pakistan. - UTUSAN ONLINE