Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pengurangan kompaun letak kereta itu akan berlangsung selama 14 hari sahaja iaitu melibatkan tawaran kadar serendah RM5 untuk kompaun tahun 2011 sehingga 2015.

Menurutnya, turut ditawarkan bagi kompaun ialah 2016 hingga tahun ini yang melibatkan pelbagai kesalahan iaitu tawaran bermula RM15 sehingga RM200.

“Kadar serendah RM5 ini dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan untuk menjelaskan kompaun mereka yang terdahulu agar dapat diselesaikan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 (Kesalahan-kesalahan meletak kereta di petak khas), Perenggan 36 (2) (e) (Kesalahan O.K.U) dan Perenggan 36 (1) (a) (Kesalahan tiada seorang pun menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta) tidak termasuk dalam kempen ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Mohamad Yasid, tujuan kempen tersebut diadakan bagi memberi peluang untuk orang ramai menjelaskan kompaun mereka terutama yang telah sekian lama tertunggak.

“Orang ramai digesa untuk merebut peluang ini untuk menjelaskan kompaun sebelum tempoh tawaran tamat. Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan di Kaunter Tambahan yang disediakan di Lobi Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana.

“Bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter-kaunter Majlis di Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar.

“Selain daripada itu, bayaran juga boleh dibuat di Mesin i-Kiosk (CDM), Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasaraya AEON Bukit Raja dan Bukit Tinggi setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 10.30 pagi hingga 10 malam,” ujarnya.

Tambahnya, pembayaran kompaun secara dalam talian juga boleh dilakukan melalui JomPAY (Biller code 84277) selain menggunakan aplikasi Smart Parking MPKlang.-UTUSAN ONLINE