Apatah lagi PSN yang baharu sahaja mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dengan konsep baharu yang lebih segar dan menarik, mereka yang berhasrat datang sekali lagi pasti mengalami suasana berbeza kali ini.

Tinjaun Utusan Online mendapati, PSN yang kini berwajah baru menampilkan pembukaan dua galeri pameran baru iaitu Survive The Bunker dan I-Rays yang pastinya memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang datang ke situ.

Menurut Aiman Hakim Alif, 12, dia begitu teruja untuk memasuki ke Pameran Survive The Bunker memandangkan dia diuji untuk berhadapan dengan ketakutan dan fobia serta dicabar untuk mengatasinya.

“Mula-mula bila hendak masuk memang seram memandangkan gelap, tapi bila sudah dalam pameran itu perasaan sangat seronok! Saya rasa hendak masuk sekali lagi.

“Suasana dekat PSN ini sangat selesa, saya dan kawan-kawan belajar banyak benda baru di sini,” ujarnya kepada Utusan Online ketika mengadakan rombongan sambil belajar di PSN hari ini.

Pameran Survive The Bunker menceritakan tentang sebuah bunker terbiar yang misteri dan apa yang menariknya adalah pengunjung diuji mengharungi bunker tersebut untuk keluar dengan selamat.

Manakala, Aishah Sofea, 10, dia sangat teruja dengan suasana dan peralatan sains di PSN memandangkan ini kali pertama dia menjejakinya.

“Seronok sangat! Banyak benda baru saya belajar dan saya boleh pegang serta alaminya sendiri dunia sains dan teknologi di sini,” katanya”

Sementara itu, bagi pekerja swasta, Muhammad Khairul Latif, 31, dia terpaksa mengambil cuti semata-mata ingin membawa ahli keluarganya untuk ke PSN bagi memberi pendedahan awal kepada anak-anaknya mengenai bidang sains.

“Saya dapat tahu PSN sudah buka semula oleh kawan-kawan, dulu saya pernah datang sekali tetapi sekarang apabila berwajah baru banyak aktiviti dan pameran yang menarik dapat anak-anak saya cubalah.

“PSN bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi semua golongan tidak kira umur. Bagi saya rumah fobia itu paling seronok memandangkan saya takut pada tempat gelap,” ujarnya yang menetap di Kajang, Selangor itu.-UTUSAN ONLINE