Syed Anuar Syed Mohamad
SYED ANUAR

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sudah tiba masa bagi Majlis Raja-Raja Melayu bertindak sebagai `payung' bagi menaungi kesemua institusi agar hak serta keistimewaan orang Melayu tidak sewenang-wenang disentuh dan dicabar berterusan oleh kaum lain.

Ini bermakna, jelas beliau, Majlis Raja-Raja bukan sahaja mempunyai kuasa dan fokus terhadap kepentingan agama Islam serta institusi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), malah juga merangkumi institusi Melayu lain seperti UiTM dan Mara.

"Kita setuju supaya Majlis Raja-Raja memasukkan dalam agenda mesyuaratnya agar semua institusi berkaitan bumiputera dinaungi majlis itu. Kita mahu tidak ada sesiapa yang berani sentuh soal hak dan keistimewaan orang Melayu.

"Maknanya, kuasa raja-raja bukan hanya fokus kepada agama semata-mata seperti sekarang, sebaliknya turut menyentuh apa saja institusi orang Melayu dan bumiputera," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Syed Anuar mengulas tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) agar kerajaan menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah bagi memperbaiki taraf hidup termasuk pemberian tanah rancangan seperti Felda selain peluang meneruskan pengajian di UiTM.

Kelmarin, pertubuhan itu menyerahkan memorandum kepada jawatankuasa pembangunan institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke UiTM.

Syed Anuar seterusnya menasihatkan Hindraf supaya `cermin diri' terlebih dulu serta menilai sejauh mana kekuatan mereka sebelum mengemukakan bermacam-macam tuntutan yang bukan-bukan sehingga menyentuh perlembagaan negara.

"Lebih baik Hindraf cermin diri dulu, mereka tak sudah-sudah buat macam-macam tuntutan yang bukan-bukan walaupun dinaungi perlembagaan negara terutama yang menyentuh hak orang Melayu," ujarnya.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini juga tidak pernah meminggirkan hak kaum lain di negara ini dan setiap kaum sama ada Melayu, Cina atau India tiada pengecualian untuk mereka menikmati pembangunan dan kesejahteraan.

"Justeru itu kita harap Hindraf jangan bimbang dan jangan takut pada bayang sendiri. Kita juga mahu kerajaan baharu sekarang supaya jangan layan tuntutan seperti ini dan pada masa-masa akan datang," tegasnya. - UTUSAN ONLINE