Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sistem pendidikan kebangsaan memperuntukkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan memperuntukkan kurikulum kebangsaan serta peperiksaan yang sama.

Menurut beliau, pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya bagi memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Malah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memberi kelonggaran untuk lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG), namun tetap dengan syarat am kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta khusus untuk mengajar di peringkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sahaja.

“Justeru, UMNO menyarankan agar pengiktirafan UEC sewajarnya tetap mengambil kira syarat am iaitu kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta lulus dalam mata pelajaran Sejarah dalam SPM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan membolehkan pemegangnya memasuki perkhidmatan awam di negeri itu. -UTUSAN ONLINE