TEO KOK SEONG
TEO KOK SEONG

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, ini bermakna para pelajar sekolah persendirian Cina tiada pilihan lain sebaliknya perlu mengikuti kurikulum nasional yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, hakikat itu harus dite­rima memandangkan UEC sendiri tidak menggunakan ku­ri­kulum nasional sebaliknya mengikut sistem pendidikan dari negara-negara lain malah tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Tidak ada cara lain untuk UEC diiktiraf melainkan pertubuhan-pertubuhan sekolah persendirian Cina mendukung sistem pendidikan negara kerana UEC pincang dari beberapa segi seperti kurikulum mereka adalah hasil campuran sistem negara Taiwan dan beberapa negara lain.

“Malah, kalau nak sebatikan, mereka perlu mengikut sistem pendidikan negara sepenuhnya, bukannya sebahagian sahaja ataupun mengambil UEC tetapi mahu masuk ke universiti awam atau sektor awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan tokoh perundangan dan sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan UEC wajib sebati dengan peperiksaan SPM dan STPM.

Mengulas lanjut, Kok Seong menganggap pengiktirafan UEC hanya akan memuaskan hati segelintir pihak sedangkan sistem pendidikan negara dipinggirkan begitu sahaja.

“Saya tak nampak ada cara yang jelas untuk selaraskan UEC dengan SPM serta STPM, sepatutnya mereka yang perlu berkorban dan mengikut sistem pendi­dikan negara, bukan sebaliknya.

“Di mana letaknya harga sistem pendidikan negara kita yang sudah banyak membantu dan berjasa kepada anak-anak kita selama ini, malah UEC ini sekadar nak jaga perasaan segelintir masyarakat semata-mata, mereka tak nak masuk sistem pendi­dikan negara tapi pada masa yang sama mereka nak masuk ke sektor awam,” katanya.