Sehubungan itu, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, adalah tidak wajar bagi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching membuat kenyataan yang seolah-olah mengisytiharkan pengiktirafan UEC.

“Kementerian Pendidikan sendiri masih menjalankan kajian dan oleh itu tidak wajar Timbalan Menteri Pendidikan membuat pernyataan yang bernada pengisytiharan tentang pengiktirafan UEC.

“Daripada hujah dan alasan konkrit, pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan tidak dapat menerima pengiktirafan UEC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menegaskan pengiktirafan UEC hanya boleh dilakukan oleh Kabinet dan sehingga sekarang, Kabinet belum membuat apa-apa keputusan berkenaan dengannya.

Mengulas lanjut, Awang turut menyenaraikan empat sebab mengapa UEC tidak patut diiktiraf, iaitu :

1. UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh badan persendirian yang tidak jelas kurikulumnya, latihan gurunya, kaedah pengajarannya, mutu peperiksaannya dan lain-lain.

2. Pengiktirafan UEC akan mewujudkan sijil substandard di negara ini yang mencacatkan mutu pentaksiran dan penilaian serta mutu pendidikan negara yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

3. UEC dikendalikan oleh badan yang sejarah awalnya berkiblat ke Taiwan dan hingga kini tidak jelas adakah sistem, kurikulum, latihan guru, buku tekis dan lain-lain selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

4. Pengiktirafan UEC mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan yang menurut acuan kenegaraan dalam hal kurikulum, latihan guru, buku teks, peperiksaan dan lain-lain. - UTUSAN ONLINE