Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UCAM bantu jadikan pertanian terus relevan

Zahidi ZAINUL ABIDIN (dua dari kanan) bersama Mohd. Ariff Ab.
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN (dua dari kanan) bersama Mohd. Ariff Ab. Rahman (kiri) serta Faridah Hanam Mohd. Rashid (dua dari kiri) memegang replika bebola cahaya sebagai simbolik perasmian Penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Ayer Paabas, Alor Gajah, Melaka, semalam. Turut bersama, Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (kanan) dan Md. Yunus Husin. Utusan/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

ALOR GAJAH 8 Mac - Usaha penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang memfokuskan pertanian dan perladangan berpotensi menjadi pemacu kepada inisiatif kerajaan dalam memastikan bidang itu terus relevan pada masa hadapan serta mampu berkembang seiring kemajuan bidang lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cabaran dalam pemodenan sektor pertanian dan perladangan adalah pergantu­ngan kepada tenaga kerja asing, petani berusia, kekurangan tenaga mahir serta sambutan dingin dalam kalangan golongan muda.

Justeru, beliau berharap UCAM akan menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dapat me­lahirkan ramai graduan cemerlang serta mempunyai kecenderungan bekerjaya dalam bidang pertanian dan perladangan bagi membantu merancakkan sektor berkenaan.

“Saya sarankan UCAM menjadikan sektor keusahawanan sebagai bidang kerjaya pilihan tanpa perlu bergantung untuk bekerja dengan agensi kerajaan atau swasta semata-mata.

“Sehubungan itu, UCAM perlu mewujudkan ekosistem keusahawanan dalam kampus ini serta melatih dan memberi pendedahan kepada para siswazah agar dapat menimbulkan minat mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Kementerian amat komited bagi memastikan IPTS agensi yang bernaung di bawah kementerian terus menghasilkan gra­duan berkualiti bagi menyumbang bakti kepada kemajuan desa dan seterusnya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan seperti disarankan UCAM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Perasmian Penubuhan UCAM dekat Ayer Pa’abas di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Ariff Ab. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunus Husin; Pengerusi UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Naib Canselor UCAM, Prof. Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid.

UCAM merupakan kolej universiti pertama ditubuhkan di bawah agensi kementerian, RISDA yang memberi fokus kepada sektor pertanian dan perladangan.

Jelas Ismail Sabri, fokus penubuhan UCAM adalah untuk membantu generasi kedua pekebun kecil mendapat pendidikan tinggi dan memperoleh kehidupan berkualiti.

“Sebagai sebuah agensi pendi­dikan saya berharap semua warga kerja UCAM khususnya dan RISDA amnya sentiasa komited, bersatu dan terus berusaha gigih untuk membela nasib pekebun kecil serta memastikan program yang dijalankan terus menjadi pilihan.

“Program pengajian UCAM perlu dipertingkat dan diolah bagi memenuhi keperluan pasaran, industri dan mampu membentuk pembangunan modal insan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, UCAM akan terus memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada warga kampusnya malah pembangunan pengajian tinggi negara selain memajukan bidang pertanian dan perladangan.

Katanya, UCAM mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai IPTS berasaskan pertanian serta berjaya menjadi pemangkin de­ngan meneroka bidang pertanian dengan lebih jauh dengan mening­katkan nilai tambah kepada usahawan pertanian dan perladangan.

“Saya yakin UCAM boleh menjadi wahana untuk melahirkan teknokrat dalam bidang agroindustri bukan sahaja dalam negeri tetapi melangkaui luar negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Faridah Hanam memberitahu, UCAM merupakan syarikat milik RISDA sebelum ini dikenali sebagai Kolej RISDA dan mula beroperasi pada 8 Januari 1999.

Katanya, setelah kira-kira 14 tahun beroperasi iaitu pada 2014, kolej itu dinaik taraf menjadi UCAM dengan menawarkan pelbagai bidang pengajian meliputi empat fakulti.

“Terdapat empat fakulti di UCAM termasuk Fakulti Agrosains, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Fakulti Sains Sosial selain turut menawarkan kursus pascasiswazah,” jelas beliau

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain