Ismail Sabri Yaakob

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu sangat mengecewakan dan menunjukkan sikap berlepas tangan dari tangggungjawab sebuah kerajaan pemerintah. 



“Memang benar banyak Pusat Tahfiz yang tidak berdaftar di dalam keadaan yang uzur dan kadang-kadang keadaan persekitaran boleh merbahayakan pelajar dan anak tahfiz.



“Kementerian Wilayah Persekutuan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan dan arahan penutupan pusat-pusat tahfiz ini,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Kata beliau, sepatutnya kementerian berkenaan membantu dan mengambil langkah menaik taraf dan mendaftarkan pusat-pusat tahfiz tersebut.



“Sewaktu Barisan Nasional (BN), kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk membaik pulih dan menaiktaraf 721 pusat-pusat tahfiz (akhir 2017) yang tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan dan memberikan keselesaan suasana dan persekitaran pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahfiz.

“Sebanyak 442 buah telah selesai diselenggara dan dinaiktaraf pada Mei 2018,” jelasnya.



Dari jumlah keseluruhan itu kata Ismail Sabri, kerajaan BN ketika itu mengenalpasti ada pusat tahfiz tidak perlu dibaiki kerana berkeadaan baik dan sesetengah pusat tahfiz tidak mahu menerima peruntukan kerana perbedaan fahaman politik.

“Namun, kita terus menghulurkan bantuan dalam bentuk berlainan. Sejumlah 612 pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan ketika itu diberikan peruntukan pendawaian semula semua bangunan mereka yang melebih masa yang telah ditetapkan oleh Pihak Bomba dan telah siap juga pada Mei 2018,” ujarnya.




Selain itu kata beliau, bagi menjamin masa depan mereka kerajaan BN telah memperuntukkan RM40 juta untuk memberikan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar-pelajar terbabit supaya selepas tamat pembelajaran mereka bukan sahaja bergelar hufaz tapi mahir dalam bidang tekninal dan vokasional.



“Kerajaan BN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang di Pengerusikan oleh timbalan perdana menteri untuk menyelaras dan menyelesaikan semua isu yang melibatkan pusat tahfiz terutamanya dalam menyediakan sukatan mata pelajaran yang membolehkan mereka mengikuti pelajaran formal dan mengambil peperiksaan rasmi seperti pelajar-pelajar lain di aliran pendidikan kebangsaan.



“Begitulah prihatin kerajaan BN ketika itu dalam menjaga kepentingan pendidikan Islam,” katanya.


Kata Ismail Sabri, malangnya kerajaan PH hari ini tidak menunjukkan kesungguhan dan minat untuk menjaga institusi Islam itu berbanding aliran lain seperti yang umumkan Menteri Pendidikan ketika baharu mendapat mandat bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) layak mendapat peruntukan dari kerajaan.

Sedangkan kata beliau, SMPC tidak pernah berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan kerana enggan menggunapakai polisi dan dasar pendidikan negara.

“Tidak cukup dengan itu kerajaan PH bertindak kejam dengan menutup pusat-pusat tahfiz pula.



“Tindakan ini boleh dianggap menyekat hak asasi individu untuk mendapatkan hak asasi asas setiap manusia iaitu hak untuk mendapatkan pendidikan.Tindakan ini jelas menunjukkan Kerajaan PH gagal untuk menjaga kepentingan umat islam di negara yang agama rasminya adalah Islam.


“Saya berharap para agamawan serta pendidik tanpa mengira kaum dan ugama untuk bersama-sama mempertahankan institusi pendidikan Islam ini. Ini bukan isu politik kepartian. Ini bukan soal agama semata-mata, tetapi lebih kepada soal hak mendapat pendidikan kepada rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga berkaitan kebajikan anak-anak tahfiz yang akan kehilangan tempat pembelajaran mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE