Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Sentul 1, Norhayati Abd. Kadir berkata, dengan menggunakan aplikasi Tutor Guru pada tablet itu membolehkan guru merancang aktiviti PdPc secara sistematik bagi membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja selagi ada capaian Internet.

“Tutor Guru memberi pelbagai manfaat dan berguna kepada guru, misalnya, bank soalan, yang sebelum ini agak sukar untuk guru mencari, mengumpul dan mengenal pasti soalan berkualiti.

“Namun, dengan adanya kemudahan ini, guru mudah mendapatkan soalan latihan berkualiti untuk dimasukkan dalam lembaran kerja digital yang juga boleh dikongsi dengan sekolah-sekolah lain,” katanya ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru di sekolahnya di sini hari ini.

Program yang disertai 36 guru ini dikendalikan Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Dalam program ini, guru dibimbing untuk membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21 menggunakan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

SK Convent Sentul 1 turut diiktiraf sebagai Sekolah Mentor bagi program intervensi ini dan menerima akaun percuma untuk mengakses portal pendidikan www.tutor.com.my.

Selain itu, menurut Norhayati, program intervensi yang diadakan amat bermanfaat kerana dapat membantu guru untuk bijak menggunakan tablet dan mempraktikkan aplikasi Tutor Guru dengan lebih berkesan secara profesional dan sistematik.

“Saya dapati hampir 90 peratus guru memahami dan mampu menguasai penggunaan tablet dan aplikasi Tutor Guru ini dengan baik selepas mengikuti program intervensi ini.

“Malah, guru juga boleh memanfaatkan kemudahan e-Paper Utusan Malaysia untuk mengintegrasikan pelbagai maklumat dan berita semasa untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran abad ke-21 di dalam kelas mereka,’’ katanya.