Beliau berkata, langkah itu akan dapat mematangkan golongan tersebut dan menyemarakkan lagi proses demokrasi di negara ini.

“Anak-anak muda adalah generasi pewaris dan memberi mereka peranan memimpin akan mematangkan mereka, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada generasi berusia 30-an dan 40-an.

“Mereka akan mengambil tempat (golongan dewasa) dan langkah itu akan membantu kita pastikan remaja berperanan menyumbang kepada perubahan negara yang moden.

“Ramai pemimpin dunia hari ini adalah orang muda dan tidak mustahil satu hari nanti mereka memimpin negara dengan adanya kematangan politik. Dengan pendedahan peringkat awal dan pengaruh, mereka dapat membawa negara lebih ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Semalam, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan itu juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyambut baik mereka yang mencecah 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

“Kita mengalu-alukan mereka boleh mengundi secara automatik dan ini memang kita perjuangkan sejak sekian lama. Kita meraikan keputusan itu dan peranan anak muda terus diperkasakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa 30 Julai ini adalah cuti umum di negeri ini sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - UTUSAN ONLINE