Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka tidak boleh menunggu sesuatu isu disiarkan oleh media atau media sosial untuk baru bertindak.

“Kita mesti berikan perhatian khusus kepada kumpulan sasar agar bantuan dapat disalurkan dengan berkesan kepada rakyat yang layak dan benar-benar memerlukan.

“Kita mahu pembangunan sosial masyarakat yang seimbang dan menyeluruh, berjalan seiring dengan pembangunan fizikal dan infrastruktur,” katanya ketika berucap merasmian Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah di Sungai Karang Darat di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendekati kumpulan sasar seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga miskin.

“Di peringkat kementerian pula, kita ada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang mana insya-Allah akan memainkan peranan untuk membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan pusat khidmat adalah salah satunya cara untuk berterima kasih kepada rakyat dan bekerja untuk memenuhi tuntutan permasalahan rakyat.

“Kita mahukan pusat khidmat yang berperanan sebagai ‘one stop centre’ yang menghubungkan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan kepada rakyat dengan lebih efisyen.

“Proses penyampaian dasar kerajaan perlu dilaksanakan dengan berkesan di peringkat Parlimen dan DUN, agar tiada kelompok masyarakat terpinggir daripada proses pembangunan negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE