Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan turun ke lapangan iaitu bertemu sendiri dengan kesemua empat cabang rantaian itu bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atau menjadi mangsa manipulasi harga sejak SST dilaksanakan.

"Kementerian akan melaksanakan langkah berterusan iaitu turun sendiri ke lapangan di mana kita akan dapatkan maklumat selain melihat sendiri proses bagaimana sesuatu produk dihasilkan, dikilangkan, dibekalkan sehingga sampai kepada pengguna.

"Jika sebelum ini kita hanya mendengar taklimat sahaja berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi apabila SST dilaksanakan, kita akan turun padang bertemu pengilang dan jika ada aduan daripada pengguna kita boleh buat perbandingan margin keuntungan yang diambil oleh peruncit," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja bagi menyemak pelaksanaan SST bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Oriental Food Industries Sdn. Bhd. (Oriental Food) di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini petang ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif Oriental Food, Datuk Son Tong Leong. - UTUSAN ONLINE