Malah, Sultan Kedah, Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada zaman mudanya sekitar 1960-an juga dikatakan selalu berkhemah di Bukit Pinang dan pada waktu malam akan merangkak untuk melihat orang kampung mengambil telur tuntung. Disebabkan itulah, baginda mengenali dengan begitu baik sifat-sifat haiwan berkenaan dan habitatnya. Sultan Salehuddin juga prihatin terhadap nasib haiwan berkenaan yang pada pandangan baginda, kini dalam keadaan berbahaya.

Situasi tersebut ada benarnya kerana kawasan pesisiran Sungai Bukit Pinang dan Sungai Muda yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan tuntung untuk bertelur, kini sudah tiada lagi. Semakin hari populasi haiwan berkenaan semakin mengecil, sehinggalah tuntung dikategorikan sebagai spesies dilindungi dan kali terakhir dilihat bertelur di Sungai Bukit Pinang adalah pada 2004.

Kesemua ini diakui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah yang mengesahkan bahawa tuntung kini berada pada tahap terancam dan hampir pupus. Antara puncanya, adalah disebabkan kegiatan perlombongan pasir, pembinaan benteng banjir dan pencemaran sungai. Daging dan telurnya pula menjadi hidangan penggemar makanan eksotik.

Pada masa sama, Penolong Pengarah Kanan Perhilitan negeri, Anongrakh Wechit juga tidak menolak kemungkinan spesies ini akan pupus suatu hari nanti sekiranya pemuliharaan haiwan itu tidak dilakukan dengan baik.

“Bagaimanapun hasil penguatkuasaan, risikan dan pemeriksaan secara berterusan kita dapati ia tidak dijual secara terbuka. Kita tidak menolak kemungkinan ia dijual secara senyap-senyap melalui pasaran gelap.

“Oleh sebab itu, kita berharap orang ramai menjadi mata dan telinga dengan melaporkan kepada Perhilitan sekiranya ternampak orang menjual telur atau menangkap haiwan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Alor Setar baru-baru ini.

Sementara itu, katanya, Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) yang diwujudkan di Bukit Pinang adalah sebagai langkah pemuliharaan dan pusat pembiakan haiwan tersebut.

Selain itu, Anongrakh memberitahu, Sungai Bukit Pinang dan Sungai Muda telah diwartakan sebagai kawasan penetasan telur tuntung di bawah Enakmen Tuntung, 1972.

“Kita ambil induk dari habitat asal dan membiakkannya di pusat berkenaan dan setahun sekali kita akan lepaskan kembali di habitat tersebut (Sungai Bukit Pinang). Terbaharu iaitu pada tahun lalu sebanyak 154 ekor dilepaskan.

“Kali pertama tuntung dilepaskan di kawasan tersebut pada 1983 dan keseluruhan pelepasan sehingga 2018 adalah kira-kira 5,000 ekor. Kita sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pengawalan untuk pemuliharaan tuntung,” katanya.

Jika di Terengganu, rakyatnya berbangga dengan penyu dan dijadikan sebagai produk pelancongan, tidak salah sekiranya kawasan tumpuan tuntung juga dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di Kedah.

Namun, haiwan tersebut mestilah dipulihara supaya tidak pupus ditelan zaman sekali gus bagi memastikan khazanah tidak ternilai itu dapat dilihat anak-anak cucu pada masa depan.