Pemasyhuran itu diumumkan pada majlis Istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-60 di Istana Besar, Johor Bahru di sini sebentar tadi.

 "Sebagaimana hak dan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2E) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, maka saya sebagai Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja, telah berkenan untuk melantik, menjadikan dan menggelar Tunku Iskandar Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.

 "Oleh itu, mulai dari saat ini, Tunku Iskandar Tunku Ismail adalah merupakan waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor, iaitu orang yang menyusul kemudian daripada waris," titah baginda.

 Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anakanda-anakanda serta menantu, Dennis Muhammad Abdullah.

 Sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda, Sultan Ibrahim turut berkenaan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat kepada 62 individu.

 Senarai penerima didahului oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani yang dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ).

 Baginda turut berkenan mengurniakan gelaran Datuk kepada lima lagi individu menerusi penganugerahan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) dan antara yang menerimanya ialah Juruiring/Ketua Pegawai Keselamatan baginda, Senior Asisten Komisioner, R. Sugumaran.

Sultan Ibrahim turut berkenan menganugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada 26 individu serta Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) kepada 29 individu. - UTUSAN ONLINE