Tunku Azizah yang hari ini bergelar Raja Permaisuri Agong merupakan seorang puteri raja yang cukup dikenali dengan hobi memasak, malah sanggup menyinsing lengan semata-mata untuk beraksi di dapur bagi menyediakan lauk-pauk untuk memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi sepanjang berada di situ.

Nor Mastuza Abdul Aziz, 52, yang berpeluang membantu Tunku Azizah memasak semasa daerah Pekan dilanda musibah banjir pada 2014 dan 2015, menyifatkan baginda seorang tukang masak yang cekap dan mendapat pujian ramai.

“Ayam masak merah dan sardin merupakan menu yang sering jadi pilihan tuanku. Jika Tunku Azizah memasak, bagin­da tidak suka ikan tersebut dipotong kepada saiz kecil, sebaliknya baginda lebih suka memasaknya dalam saiz yang asal.

“Baginda pernah bertitah, jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan se­puas hati dan kenyang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Nor Mastuza yang berpe­ngalaman membantu baginda memasak di pusat pemindahan Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat dan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan pada waktu itu turut menyifatkan Tunku Azizah sebagai seorang wanita yang sangat berkebolehan dalam bidang masakan.

“Baginda memang pantas memasak...jadi kami hanya tolong hulur bahan-bahan sahaja. Bahan masakan juga sudah siap dibersihkan, dipotong, dipe­rap dan dibawa khas dengan menaik­i helikopter atau trak tentera (bergantung kepada laluan yang selamat).

“Baginda juga suka buat sendiri, jadi kami hanya membantu dan berbual-bual dengan baginda. Tuanku biasanya ha­nya mengambil masa yang singkat untuk memasak, seperti 20 minit untuk siapkan ayam masak merah...yang lama sedikit apabila melibatkan kerja-kerja menggoreng,” katanya. – BERNAMA