Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihak HKL masih tidak diberi kebenaran untuk membuat sebarang pemeriksaan selagi pihak bomba tidak selesai dalam siasatan forensik mereka.

"Bagaimanapun, tidak mustahil untuk pihak bomba menyiapkan laporan penuh dalam masa seminggu atau dua minggu lagi. Lagipun, hospital itu masih berfungsi seperti biasa dan tiada aktiviti yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sepetang Bersama Presiden MIC Kebangsaan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang, dekat sini malam ini.

Semalam, sebahagian bangunan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL terbakar pada pukul 12.20 tengah hari yang dipercayai akibat litar pintas.

Kejadian itu menyebabkan beberapa fungsi teknikal dan sistem terjejas di beberapa kawasan berhampiran hospital tersebut. - UTUSAN ONLINE