Bekas tentera, Rahim Yusof mendedahkan, kembara tersebut dapat diteruskan hasil bantuan Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Sandakan yang telah mengutipkan dana kira-kira RM1,000 ditambah dengan sumbangan ahli keluarga, saudara mara dan anggota masyarakat.

Beliau mengakui dibantu oleh sebuah stesyen radio digital online tempatan dari Sabah, MycafeFM yang membantu membuat liputan setiap hari di radio itu malah dalam media sosial tentang keadaan dan pergerakan kembara itu.

“Saya bukan hendak mengambil nama atau pangkat, tapi bagi berkhidmat kepada negara melalui Kembara Jalur Gemilang ini.

“Saya mahu membangkitkan semangat kemerdekaan negara kita ini terutama kepada generasi muda kerana jika ia tidak diambil berat tidak mustahil akan pupus malah tak diraikan.

“Generasi muda khususnya perlu mengenang jasa pejuang dan pemimpin terdahulu serta datuk nenek kita agar mempertahankan kemerdekaan ini yang tidak datang secara bergolek,” katanya.

Berbekalkan hanya kira-kira RM2,000, beliau telah memulakan perjalanan pada 1 Ogos dan tiba di Kuching  pada 9 Ogos sebelum ke Sematan kelmarin.

Motornya juga dihiasi dengan 14 jalur gemilang mewakili 13 negeri dan Wilayah Persekutuan bersama dua bendera besar Sabah dan Sarawak.

Meskipun pertama kali dalam hidupnya menjejak kaki di bumi kenyalang beliau tidak rasa keseorangan kerana keakraban dan layanan diberikan masyarakat di sini cukup baik di mana-mana tempat yang dilalui akan disapa malah diraikan dan dibantu tanpa dirancang tidak kira kaum, bangsa dan agama.

Dijangka hari ini, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof akan membuat pelepasan (flag off) Kembara Jalur Gemilang di Plaza Astana bagi Rahim memulakan perjalanan pulang pada pukul 1.30 petang nanti. - UTUSAN ONLINE