Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tindakan itu yang akan dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah bagi mengelakkan kesesakan jalan yang teruk di 20 lokasi acara sukan sepanjang temasya itu, yang dijadual berlangsung mulai 19 Ogos ini.

"Pengguna jalan raya tidak digalakkan menaiki kenderaan persendirian untuk ke tempat-tempat acara Sukan SEA ke-29 sebaliknya mereka digalakkan mengguna pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd. Nadzri Hussain.

Amar Singh berkata, kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan acara itu akan ditunda ke subtek berdekatan sebelum dibawa ke stor barang kes Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik kenderaan yang ditunda akan dikenakan kompaun sebanyak RM300, dicaj sebanyak RM50 sehari untuk bayaran parkir selain bayaran upah tunda sebanyak RM100 mengikut undang-undang.

"Sekiranya pemilik kenderaan tidak membuat tuntutan, kenderaan itu akan dilelong," katanya.

Penutupan atau lencongan jalan katanya hanya dilakukan di KL Sports City iaitu dari Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar bermula 14 Ogos ini, seawal pukul 6 pagi hingga acara selesai dan tiada sebarang penutupan jalan yang dilakukan secara tetap di venue lain.

Amar Singh berkata, kesesakan lalu lintas juga dijangka berlaku di laluan menghala ke tempat-tempat acara sukan dan penginapan atlet.

"Sehubungan itu, JSPT dengan kekuatan seramai 1,098 petugas akan membuat pemantauan dan mengawal aliran trafik dengan melakukan lencongan atau penutupan sementara di jalan-jalan terlibat," katanya.

KL2017 secara rasminya bermula pada 19 Ogos ini dan berakhir pada 30 Ogos. - BERNAMA