Jelas Dr. Mahathir, Kementerian Pelajaran merupakan gabungan antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan dan beliau mengambil keputusan untuk memegang portfolio itu bagi melaksanakan usaha menambah baik sistem pembelajaran negara.

"Ini kerana saya melihat banyak kerja perlu dilakukan apabila mendapati sistem pembelajaran di negara ini agak ketinggalan zaman," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Kata Dr. Mahathir lagi, beliau akan mengumumkan beberapa lagi anggota Kabinet dalam masa terdekat dan mengakui perlu mengambil sedikit masa kerana setiap lantikan harus mendapat persetujuan bersama setiap parti komponen Pakatan Harapan.

Beliau meramalkan setiap menteri yang dilantik akan mengangkat sumpah pada Isnin ini jika mendapat persetujuan pihak istana.

Perdana Menteri pada masa sama mengesahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan, cuma pada masa sama mahu mengkaji semula bentuk bantuan tersebut bagi memastikan penerima merupakan golongan yang benar-benar memerlukan.

Sementara itu, beliau mengumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melengkapkan senarai enam kumpulan pemimpin tertinggi dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir bersama wakil tertinggi empat komponen Pakatan Harapan yang lain.

Dr. Mahathir turut mengumumkan Pakatan Harapan akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk memberi tumpuan dalam soal pembangunan kaum India dan Orang Asli yang terpinggir serta golongan muda serta wanita. - UTUSAN ONLINE