Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ke arah itu, kerangka kerja polisi persaingan negara perlu teguh menerusi satu infrastruktur tadbir urus pengawalseliaan yang berkesan.

Katanya, sistem tadbir urus pengawalseliaan yang teguh, bertanggungjawab dan telus merupakan elemen penting dalam mengekalkan ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan dalam menghadapi pasaran yang pesat berubah.

"Seperti yang dijanjikan pada Buku Harapan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) and Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan diberikan lebih banyak kuasa dan peruntukan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai beban peraturan yang dihadapi oleh industri.

"Apabila masalah ini dikenalpasti, proses dan prosedur boleh dibuat untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing," katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Kebangsaan tentang Amalan Baik Peraturan (GRP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming; Ketua Setiausaha kementerian, Dstuk Isham Ishak dan Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim. - UTUSAN ONLINE