Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan tulisan tersebut yang dilihat mampu menambah pengetahuan dan kemahiran para pelajar.

Katanya, sepatutnya langkah tersebut disambut baik oleh semua pihak kerana ia membantu para pelajar ini menguasai kemahiran baharu.

"Apa masalahnya (tulisan Jawi dan khat) ini diperkenalkan di dalam buku teks. Perkara itu tidak ada kaitan dengan agama, hanya tulisan.

"Ada juga dalam kalangan kita belajar menguasai penulisan Tamil, Cina bagi menambah pengetahuan dan kemahiran. Baguslah kita tambah satu lagi kemahiran iaitu belajar menulis tulisan Jawi ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keresahan masyarakat Tionghoa berhubung keputusan kerajaan yang tetap akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula tahun depan.

Pendirian kerajaan itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sebalik bantahan pihak tertentu berhubung perkara itu.

Tambah Azlan, beliau juga tidak mempunyai masalah jika penulisan bahasa lain juga diperkenalkan dengan apa yang lebih penting pelbagai kemahiran boleh dipelajari.- UTUSAN ONLINE