Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas negeri, Badzli Bakar berkata, tulisan jawi merupakan tulisan asal orang Melayu sejak Melaka mula menerima kedatangan agama Islam.

Jelasnya, huruf-huruf jawi adalah asalnya huruf Hija’iyah dalam al-Quran dengan sedikit penambahan untuk memasukkan bunyi Melayu bertujuan mendekatkan masyarakat tersebut dengan al-Quran.

“Maka menolak tulisan jawi ini adalah secara langsung menjauhkan masyarakat di Malaysia dengan al-Quran.

“Sememangnya kita jelas dengan tindakan serta agenda DAP untuk membantah kurikulum tulisan jawi dan khat ini. Bagaimana dengan parti-parti lain yang berada dalam kerajaan sekarang?

“Apakah mereka tidak mampu melihat apa yang kita nampak? Islam semakin dimusuhi. Tulisan yang berkait Islam juga dibantah. Di mana wakil rakyat kerajaan yang beragama Islam, di mana suara PAN? Di mana Bersatu dan di mana PKR?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu baru-baru ini membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Ini susulan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Menurut Badzli, Pas negeri ini berasa kesal dengan tindakan pihak yang membantah cadangan pengenalan tulisan khat tersebut.

“Kita tidak pernah menyuarakan untuk mengharamkan tulisan Cina kerana toleransi antara kaum yang kita amalkan sangat tinggi. Tetapi jangan dicabar Melayu-Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE