Universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Teknologi Petronas (UTP); Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Taylor's University.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu akan membolehkan nisbah jurutera berdaftar dengan penduduk dapat ditingkatkan daripada 1:300 sekarang kepada 1:100.

"Saya berharap kesemua universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta negara ini yang menawarkan program kejuruteraan mengadakan MoU dengan BEM bagi melahirkan lebih ramai jurutera bertauliah," katanya sempena majlis MoU itu di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Sarani Dollah.

Sementara itu, Presiden BEM, Datuk Seri Ir. Roslan Md. Taha, berkata melalui MoU itu, proses pendaftaran sebagai jurutera siswazah akan menjadi lebih mudah dan pantas melalui sistem dalam talian.

"Dari segi dokumentasi, pihak universiti hanya perlu menghantar surat atau senarai kelulusan Senat dan transkrip rasmi tanpa tandatangan Naib Canselor dan Pendaftar," katanya.

Roslan berkata setiap universiti itu layak menerima sumbangan RM10,000 bagi tempoh lima tahun untuk dijadikan sebagai anugerah kepada graduan kejuruteraan yang cemerlang. - BERNAMA

MAFZ MUN NH 28/02/2017 17-20ST