Apa tidaknya, ramai dalam kalangan penuntut pengajian tinggi yang mengupah pihak lain demi menyiapkan tugasan mereka, malah lebih mengejutkan perkhidmatan itu kian bersepah ditawarkan menerusi dalam talian.

Sehubungan itu, ikuti laporan khas wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL yang mengupas ‘jenayah akademik’ yang semakin melarat bukan sahaja dalam kalangan penuntut bahkan pihak yang semakin berani menawarkan perkhidmatan berkenaan secara terbuka.
 

KUALA LUMPUR 1 Jan. -  Tempoh singkat untuk menyiapkan tugasan dan laporan menjadi punca ramai penuntut khususnya di tahun akhir sanggup meng­upah pihak ketiga melakukannya sehingga selesai.

Perkara itu diakui Pro Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, dan memaklumkan sememangnya berlaku namun hasil kerja sindiket terbabit sukar untuk dipertikaikan malah ketulenan penulisan akademik tidak diragui.

“Itulah jalan keluar dan risiko yang sanggup diambil oleh mahasiswa untuk menyiapkan tugasan dengan cara yang mudah.

“Walau bagaimanapun, kita memberi kepercayaan kepada pensyarah yang menyelia untuk menilai hasil kerja penuntut di bawah seliaan mereka.

“Namun, sindiket berke­naan turut licik menawarkan perkhid­matan konsultasi untuk mahasiswa menjawab segala pertanyaan penyelia mereka demi memastikan perbuatan mereka tidak dapat dihidu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah beliau, kegiatan berkenaan bukan sahaja sukar dibuktikan dan pihak universiti tidak mempunyai kuasa untuk melarang kegiatan sindiket terbabit.

“Kita boleh kenal pasti tahap penulisan akademik seseorang mahasiswa dan bagaimana ha­sil kerjanya juga dapat diagak.

“Namun jika mereka mendapatkan bantuan sindiket berke­naan dan dapat dibuktikan, mahasiswa mesti dihukum demi menjaga kredibiliti pensyarah dan institusi,” tegasnya.