Tunku Ismail berkata, bercakap benar adalah salah satu daripada tugas beliau dan apa yang menjadi kepentingannya ketika ini adalah rakyat negeri Johor.

Tunku Ismail memberitahu, status sebenar seseorang itu bukan bergantung kepada gelaran yang disandangnya tetapi bagaimana ia dipandang oleh rakyatnya.

"Status saya hanya 'jatuh' jikalau saya gagal berkhidmat kepada mereka iaitu rakyat saya - dan dalam hal ini, saya percaya saya tidak gagal.

"Berdasarkan prinsip, saya tidak pernah mengambil jalan mudah. Saya percaya adalah tugas kami untuk bercakap benar dan tanpa mengira akibat dan kesannya, nampaknya dengan saya bersuara lagi sekali membuat setengah pihak kurang senang," katanya menerusi entri yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya malam tadi.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, beliau tidak berniat membela 'egonya' dengan apa yang ditulis tetapi bersuara supaya rakyat tahu perkara yang benar dan bila ada perkara yang salah sedang dilakukan.

Kata Tunku Ismail, itu bukanlah perkara memantau apa yang ditulis pada laman sosial media beliau tetapi melibatkan pemantauan telefon peribadi, e-mel, dan komunikasi peribadinya.

"Sedangkan saya ahli kerabat diraja boleh diintip, apatah lagi orang awam Malaysia yang lain? Biar saya jelaskan disini, saya bukan bercakap kerana ingin menentang kerajaan. Polisi Johor adalah menyokong mereka yang mentadbir negara.

"Walau bagaimanapun, ini tidak boleh mengambil sebagai perkara yang remeh. Kami mesti sentiasa berwaspada dan bersuara apabila ada perkara salah telah berlaku," tegasnya. - UTUSAN ONLINE