Presiden Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM), Profesor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, langkah tersebut penting berikutan kajian menunjukkan hubungan antara pelajar dan guru adalah lebih rapat berbanding ibu bapa masing-masing.

“Keadaan masa kini semakin ber­ubah. Ibu bapa banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan menyerahkan tugas mendi­dik kepada guru.

“Oleh itu, bakal guru perlu bersedia dari segi mental dan fizikal agar tidak terkejut dengan cabaran baharu yang perlu dipikul oleh mereka,” katanya yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program motivasi bertemakan Revitalisasi dan Kecemerlangan Guru Dalam Per­spektif Pendidikan Islam bersama mahasiswa Fakultas Tarbiyah dan Keguruan Universitas Islam Negeri Ar-Raniry di sini, hari ini.

Program motivasi itu merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh PIMM sempena misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Pidie Jaya.

Ab. Halim memberitahu, golo­ngan guru juga perlu lebih moden dalam semua aspek dan bersedia dengan pelbagai maklumat selari perkembangan masa kini.

“Tugas guru masa kini tidak sama seperti dahulu. Pelajar lebih banyak bergantung kepada guru iaitu sebagai rujukan utama mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab. Halim menjelaskan, pada hari ini, para sukarelawan yang menyertai misi bantuan tersebut turut melawat pondok Dayah Mini Darussalam yang terletak di Gampong Rukoh Kecamatan Syiah Kuala Banda Aceh. – UTUSAN