MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL

MAH bukan sahaja tidak mahu memberi ‘ruang’ untuk membincangkan isu ini malah juga dilihat tidak berminat untuk duduk semeja bagi menyelesaikannya.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Moha­med Shafie BP Mammal berkata, sikap MAH yang tidak berminat untuk melihat perkara itu menampakkan seolah-olah mereka mempunyai imuniti dan kebebasan untuk membuat keputusan.

“Seseorang mengenakan tudung biasanya adalah kerana imannya. Sebarang dasar atau peraturan yang mengakibatkan halangan atau sekatan adalah dikategorikan sebagai diskriminasi. UNI-MLC merasakan MAH dan pengusaha hotel perlu berubah memandangkan Malaysia adalah sebuah negara Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Shafie berkata, ketidakhadiran MAH dalam pertemuan itu menyebabkan mereka tidak dapat mengambil satu kata putus atau jalan penyelesaian kepada isu tersebut.

Selain Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, beliau berkata, antara organisasi yang hadir adalah Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Pusat Buruh UNI Malaysia), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau memberitahu, UNI-MLC tidak melihat sebarang kaitan antara prestasi kerja dan pemakaian tudung sehingga boleh menggugat industri pelancongan negara, sebaliknya prestasi kerja adalah bergantung sepenuhnya kepada cara seseorang itu bekerja.

Mohamed Shafie berkata, tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan yang mengambil tindakan tegas untuk tidak akan mengeluarkan atau memperbaharui lesen hotel kepada hotel-hotel yang bersikap tidak adil terhadap wanita bertudung adalah satu yang dipuji.