Ismail Abd. Mutalib

Timbalan Menteri­nya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib ber­kata, sebarang kepu­tusan yang diambil akan menyebelahi mereka yang teraniaya kerana larangan tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan.

“Kita memang menerima aduan tersebut daripada Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) dan beberapa lagi persatuan pengguna berikutan diskriminasi pekerja terutama melibatkan isu tudung.,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Uni-MLC mengenal pasti sebanyak 12 buah hotel antarabangsa di kawasan Lembah Klang yang mengamalkan polisi larangan bertudung terhadap pekerja wanita.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, beliau membuat kajian selama tiga bulan bagi mengesan kesahihan berkenaan polisi yang dikatakan dan aduan yang dibuat pekerja hotel berkenaan dan berharap Kementerian Sumber Manusia bertindak dengan lebih agresif.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya serius menangani isu berkenaan selain memperjuangkan hak pekerja wanita Islam serta membuktikan Malaysia sebuah negara yang demokrasi dan aman.

Dalam masa sama, beliau berpendapat isu tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam agama Persekutuan selain memperuntukkan kebebasan untuk rakyat negara ini mengamalkan agama masing-masing.