Pengerusi Badan Perhu­bu­ngan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dakwaan Yew Yin yang mengaitkan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan amalan rasuah pengurniaan darjah kebesaran negeri adalah amat keterlaluan.

Menurutnya, dakwaan tersebut dilihat sebagai cubaan untuk meniup api kebencian rakyat terhadap institusi raja.

Menurutnya, kenyataan terbaharu Yew Yin yang menuduh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah campur tangan dalam penyingkirannya sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak juga berbaur fitnah.

"Tindakan itu seolah-olah mencabar kemuliaan institusi raja yang selama ini bersikap berkecuali dalam politik.

"Walaupun umum menge­ta­hui Yew Yin merupakan penyokong kuat dan mempunyai hubu­ngan akrab dengan pe­mimpin politik Pakatan Harapan khususnya DAP, pergelutan politik sesama mereka tidak wajar dijadikan alasan untuk mengheret institusi raja ke kancah politik kepartian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata, UMNO Perak mengingatkan semua pihak bahawa kemenangan parti pilihan mereka dalam pilihan raya tidak menjadi suatu keistimewaan untuk berasa kebal dan berkata apa sahaja apatah lagi sehingga memperlekeh dan mencemarkan kredibiliti institusi raja.

Katanya, cukup-cu­kuplah dengan tindak-tanduk pemimpin PH sebelum ini yang bertindak biadab termasuk berpakaian serba hitam seperti tanda berkabung ketika upacara istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mengundang murka Sultan Perak.

"Janganlah menjadikannya sebagai ikutan sama ada secara perbuatan atau kata-kata kerana ia tidak mencerminkan sikap warga yang bertanggungjawab dan menghormati kemuliaan institusi raja," katanya.

Semalam, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan keputusan menghentikan lantikan Yew Yin sebagai seorang daripada Ahli Maj­lis Penasihat Ekonomi Negeri di­sebabkan campurtangan pihak istana negeri.