JACOB GEORGE
JACOB GEORGE 

Malah, episod keracunan makanan yang seolah-olah tiada penyudah membawa kepada persoalan sama ada makanan yang disediakan di premis jualan itu selamat diambil atau tidak.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berharap Kementerian Kesihatan dan pelbagai agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalinkan kerjasama lebih erat menangani isu tersebut.

Atas dasar itulah, kata Jacob, satu skuad khas bagi memantau gerai-gerai makanan dengan lebih menyeluruh perlu diwujudkan dalam kadar segera.

“Skuad khas ini perlu bertindak tanpa kompromi. Berikan mereka kuasa untuk terus menyenarai hitam atau menggantung lesen perniagaan sesebuah premis sekiranya didapati menyalahi apa-apa kesalahan melibatkan kebersihan gerai atau makanan.

“Sistem penyenaraian gred kebersihan kepada premis makanan juga perlu ditambah baik lagi supaya tiada lagi premis yang diberikan gred ‘A’ walaupun gerainya jelas tidak bersih atau proses penyediaan makanan tidak menepati standard,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

LEE LAM THYE
LEE LAM THYE 

Beliau mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia mengenai pelbagai kejadian keracunan makanan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga mencetuskan keraguan sama ada makanan yang dimakan di gerai-gerai selamat atau tidak.

Dalam pada itu, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat setiap penyedia makanan perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk menyediakan makanan yang bersih supaya tidak menimbulkan masalah kepada pengguna.

Walaupun memahami kepentingan gerai terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) disebabkan harga lebih murah, namun Lam Thye berkata, aspek kebersihan tidak harus dipinggirkan sama sekali.

“Lebih banyak kursus perlu disediakan termasuk untuk peniaga kecil dan pekerja mereka di gerai-gerai. Mereka perlu diajar memahami bagaimana keracunan boleh berlaku di sepanjang rantaian bekalan bermula daripada penghasilan dan penghantaran bahan mentah, ketika penyediaan makanan dilakukan serta ketika dihidang untuk jualan,” katanya.