Tuanku Zara mula menjadi perhatian rakyat selepas berita mengenai perkahwinan baginda dengan Sultan Nazrin yang ketika itu merupakan Raja Muda Perak tersebar sekitar Mei 2007.

Perkahwinan diraja antara Tuanku Zara dan Sultan Nazrin telah menamatkan penantian selama dua dekad rakyat negeri ini iaitu sejak 1987 untuk mendapat seorang Raja Puan Besar Perak.

Peristiwa itu juga amat bersejarah kerana buat pertama kalinya istiadat perkahwinan Raja Muda Perak diadakan berikutan semua Raja Muda yang dilantik sebelum ini terdiri daripada yang sudah berkahwin.

Dilahirkan pada 22 Mac 1973 di Ipoh, Tuanku Zara merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Datuk Salim Davidson dan Datin Sharifah Azaliah Syed Omar.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent di Ipoh dan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di Ipoh, Tuanku Zara merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa di bangku sekolah.

Baginda juga aktif dalam sukan terutama dalam tenis, skuasy dan tae kwan do, malah pernah mewakili Perak dalam sukan renang.

Selepas menamatkan pengajian A-Level di Prime College pada 1992, baginda melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nottingham dan lulus dengan ijazah kelas pertama pada Julai 1995.

Raja Permaisuri Perak yang disayangi rakyat jelata itu dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Januari 2012.

Baginda turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan menjadi menjadi Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak.

Hasil perkahwinan Tuanku Zara dan Sultan Nazrin kini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.