Lebih mesra dikenali sebagai 'Pak Wan', beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan di University of Leeds, United Kingdom, sebelum pulang ke tanah air dan berkhidmat selama lapan tahun dengan syarikat antarabangsa daripada Amerika Syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Masjid Tanah itu kemudian menyertai Petronas pada tahun 1999 dalam pengurusan aktiviti pembangunan industri minyak dan gas selama tiga tahun seterusnya menjalankan perniagaan sendiri.

Ilham untuk membuat penampilan pertama kali dalam arena politik pada PRU14 timbul selepas bimbang dengan situasi yang melanda negara terutama membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenalan kepada ramai pemimpin kerajaan terdahulu terutamanya bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa peka dengan teguran rakyat, jurutera berusia 61 tahun itu kemudian mula menyertai perjuangan Muhyiddin dengan membantu mengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kerja keras itu juga menyebabkan beliau diserap ke dalam pergerakan parti sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ketua Badan Pimpinan PPBM Melaka.

Pada PRU14 lepas, Mohd Redzuan menewaskan Datuk Wong Nai Chee (BN-MCA) dan Mohammad Nazree Mohammad Aris (PAS) dengan majoriti 6,980 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Mohd Redzuan memperoleh 29,330 undi, Wong memperoleh 22,350 undi dan Mohammad Nazree memperoleh 6,135 undi. - BERNAMA