Dalam laman webnya hari ini, syarikat itu berkata, tindakan akan diambil selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan hari ini bahawa sejumlah RM3.07 bilion, yang dimaksudkan untuk pembangunan TRX, telah disalahgunakan oleh 1MDB.


Berikutan penyelewengan tersebut, TRXC tidak mempunyai wang yang cukup untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju utama TRX.


Guan Eng telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi, Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada polis serta panel siasatan khas 1MDB.


TRXC kemudian dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 31 Mac 2017.


Sementara itu, Azmar berkata, syarikat itu mengalu-alukan sokongan kementerian dalam menyiapkan pembangunan Tun Razak Exchange.


“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mempunyai keyakinan terhadap TRX, daerah kewangan antarabangsa yang baharu di KL. Pelabur kami akan melihat komitmen ini secara positif kerana ia mengesahkan pendirian pro-perniagaan kerajaan.


“Kami telah membuat kemajuan besar dengan projek ini dan menarik ramai pelabur bertaraf dunia. Dengan sokongan yang sangat diperlukan ini dan komitmen berterusan dari rakan kongsi kami, kami berharap dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual dan belanjawan, untuk manfaat Malaysia dan semua rakyat Malaysia,” katanya.


Sebagai daerah pusat perniagaan masa depan Kuala Lumpur, TRX akan mengukuhkan kedudukan bandar raya ini sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa terkemuka, dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersepadu dan lancar untuk firma perkhidmatan kewangan, syarikat multinasional dan perniagaan sampingan. - BERNAMA