Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengakui perkara tersebut wujud sebelum beliau menjawat jawatan di Kementerian Kesihatan lagi.

Menurutnya, pelantikan berkenaan adalah mengikut prosedur sedia ada termasuk daripada kalangan golongan pekerja asing, pelacur serta transgender.

“Fungsi CCM ditubuhkan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan kesihatan kepada golongan minoriti seperti itu.

“Jadi, mereka berperanan memberi pendidikan berkaitan kesihatan kepada golongan minoriti di negara ini. Tidak silap saya wakil daripada golongan pekerja asing, pelacur, transgender sudah ada dilantik dalam jawatankuasa itu sebelum ini,” katanya yang dipetik laporan akhbar Sinar Harian hari ini.

Pada Ahad lalu tular dalam media sosial berhubung Kementerian Kesihatan melantik seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli CCM melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menerusi kenyataan kelmarin menjelaskan, pelantikan Rania sebagai ahli CCM Malaysia bagi penggal 2019 hingga 2021 adalah mengikut prosedur sedia ada.

Dalam pada itu, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, pemilihan ahli daripada golongan minoriti itu bukanlah satu keputusan yang salah, kerana perkara itu mengkhususkan kepada usaha merapatkan hubungan antara kerajaan dengan golongan terbabit dalam menyebarkan pendidikan kesedaran.

“Cuma saya terkilan dengan Kementerian Kesihatan, apabila fungsi dan tujuan lantikan AJK itu tidak diperjelaskan kepada umum sehingga masyarakat melihat dari sudut negatif.

“Sepatutnya kerajaan beri penjelasan lebih awal mengenai CCM dan siapa ahlinya selain peranan yang dimainkan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE