Ada kalanya pengguna jalan raya rasa tidak selamat apabila ada treler atau lori berada di sebelah, sehingga terpaksa memberi laluan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Stigma negatif ini sudah lama wujud. Beberapa siri kemalangan membabitkan lori dengan kenderaan lain sehingga meragut nyawa menimbulkan rasa trauma dalam kalangan pengguna jalan raya.

Kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler yang menghimpit sebuah kenderaan sehingga mengorbankan lima sekeluarga di Terowong Menora Sabtu lalu salah satu daripada banyak contoh `malapetaka' yang boleh berlaku.

Ironinya, setiap kali kejadian ini berlaku, pemandu treler atau lori yang selamat dikesan positif dadah. Bagaimana perkara ini masih berlaku?

Membiarkan seseorang di bawah pengaruh dadah memandu sebuah kenderaan berat umpama sengaja mengundang `bencana' jalan raya.

Sudah berulang kali perkara ini dibangkitkan. Sudah pelbagai garis panduan dikeluarkan kerajaan, namun masih berulang, malah semakin banyak nyawa yang terkorban.

Pokok pangkalnya di sini ialah syarikat pemilik treler dan lori sendiri yang perlu lebih bertanggungjawab.

Tidak guna pelbagai langkah pencegahan dilaksana kerajaan sekiranya `punca' kepada masalah tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Yang perlu dititik beratkan ialah pemandu-pemandu lori ini patuh pada peraturan jalan raya dan paling penting bebas daripada pengaruh dadah.

Bukan mahu `pukul rata' semua pemandu lori, kerana ramai juga yang memandu secara berhemah tetapi kejadian yang berlaku telah mencipta persepsi negatif terhadap mereka.

Dalam hal ini contohilah pengurusan lori-lori membawa tangki minyak yang lebih profesional sehingga pemandu-pemandunya amat dihormati. - UTUSAN ONLINE