Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh mendakwa, berita kematian itu juga sudah diterima Wisma Putra. 

“Difahamkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof akan ke sana (New Zealand), esok.

“Beliau akan mewakili Kerajaan Malaysia untuk urusan solat jenazah dan khutbat Jumaat di Christchurch,” katanya seperti dipetik sebuah portal berita di sini malam ini.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas Kerajaan New Zealand membuat pengumuman rasmi berhubung kematian Mohd. Haziq.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.  Wan Azizah Wan Ismail turut berduka cita atas berita pemergian Mohd. Haziq yang terkorban dalam insiden keganasan itu.

“Cukup pilu mendapat berita Mohd. Haziq yang disahkan maut dalam kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand. 

“Saya doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan kekuatan buat keluarga Allahyarham,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter rasminya. - UTUSAN ONLINE