Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dibelasah dalam insiden tersebut sememangnya satu berita yang sangat menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia.

Insiden itu kata beliau, jelas menggambarkan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa perlu segera bertindak mendakwa bukan sahaja suspek yang membelasah Muhammad Adib, bahkan menghukum dalang yang mencetuskan kejadian tidak diingini tersebut.

“Pemuda UMNO Kelantan mahu sebilangan ahli politik Kerajaan PH yang mengeluarkan beberapa siri kenyataan berbaur perkauman diheret ke muka pengadilan, terutamanya Exco Kerajaan PKR Selangor, V. Ganabatirau dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

“Mereka ini harus disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Dua individu ini juga perlu segera digugurkan daripada jawatan masing-masing kerana mereka jelas tidak layak untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Noor Hariri, polis dan Pejabat Peguam Negara tidak boleh mengamalkan sikap pengadilan selektif dalam isu tersebut.

“Tindakan yang sangat tegas dalam menangani isu ini bakal menjadi pengajaran yang sangat jelas kepada mereka yang ingin menjadikan isu perkauman di negara ini untuk memecahbelahkan perpaduan pelbagai kaum di bumi tercinta ini,” katanya.

Muhammad Adib yang parah dibelasah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia pada pukul 9.41 malam semalam selepas 21 hari bertarung nyawa. - UTUSAN ONLINE