Menurut kenyataan daripada Kementerian Luar, Timbalan Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar.

“Dengan tema ‘Rakan Kongsi Global Untuk Cabaran Global’, para pemimpin ASEM akan membincangkan isu-isu utama serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Selain itu, turut dibincangkan adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada di antara Asia dan Eropah,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan untuk menyampaikan kenyataan negara semasa Sesi Plenari Kedua mesyuarat itu yang bertemakan ‘Mengukuhkan Sistem Multilateral: Memajukan Perkongsian ASEM Terhadap Cabaran Global’.

“Disamping itu, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawat beliau termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon,” kata kenyataan itu.

Sidang Kemuncak ASEM Ke-12 dijangka akan menerima pakai Kenyataan Pengerusi yang akan menggariskan aspirasi dan komitmen ASEM untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara rakan-rakan kongsi di bawah tiga tonggak kerjasama ASEM iaitu politik, ekonomi dan sosio-budaya. - UTUSAN ONLINE