Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedutaan berkenaan telah memaklumkan kesediaan mereka membantu keluarga remaja tersebut membawa pulang mayat gadis itu ke negara pilihan mereka.

"Pihak kedutaan memaklumkan apa-apa dokumentasi akan dimudahkan untuk membawa balik mayat keluar dari Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai dekat sini hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 10.30 pagi diberikan taklimat mengenai perkembangan kes kehilangan Nora Anne oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang, Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.

Wan Azizah kemudian pergi menemui keluarga Nora Anne yang masih tinggal di resort The Dusun.

Ketika ditemui para wartawan selepas pertemuan kira-kira 15 minit itu, beliau hanya memberitahu bahawa keluarga mangsa meminta diberikan privasi ketika ini.

"Saya tidak boleh komen. Keluarga minta privasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE