Menurut Timbalan Perdana Menteri, pihak-pihak yang ber­kenaan juga diminta mengadakan sesi khas seperti town hall dengan pengusaha pusat tahfiz agar tidak berlaku lagi saling tuding menuding jari apabila timbul masalah seperti kebakaran.

“Mungkin sebahagian peng­usaha pusat tahfiz tidak tahu tentang perbincangan melibatkan jawatankuasa tertinggi me­ngenai sekolah agama,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengikuti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 di Hotel Conrad Manila di sini hari ini.

Mengulas syor-syor yang dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz di Putrajaya semalam, beliau berkata, ia merupakan tindakan jangka panjang dalam menentukan hala tuju maahad tahfiz.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz tertakluk kepada akta berkenaan. – UTUSAN